Zakat sucikan jiwa, harta

SLAM adalah merupakan agama yang syumul, merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia sejagat. Umat Islam perlu menerima Islam secara keseluruhannya tanpa memilih-milih.

Salah satu dari komponen yang berada di bawah naungan Islam adalah persoalan harta. Islam secara asasnya tidak melarang umatnya dari mendapatkan harta sebanyak mungkin.

Namun, dua perkara yang perlu dititikberatkan berkaitan dengan harta adalah:

lSumber pengambilan harta

lPengurusan dan perbelanjaan harta

Rasulullah SAW menggambarkan betapa pentingnya umat Islam perlu menitikberatkan persoalan ini kerana ia bakal ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara; Tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya". (riwayat At-Tirmidzi)

Islam menganggap harta adalah merupakan pemberian oleh Allah SWT kepada manusia sebagai pinjaman. Justeru, tidak sepatutnya bagi umat Islam menguruskan hartanya sewenang-wenang sehingga membatasi prinsip dan kehendak syariah.

Antara perkara yang menjadi kewajipan kepada umat Islam dalam menguruskan hartanya adalah pembayaran zakat.

Zakat dan Kepentingannya

Perkataan zakat memberi maksud menyuburkan, membersihkan dan memperbaiki. Sebenarnya, melalui kefahaman terhadap maksud sebenar dari perkataan zakat ini sudah memberikan gambaran yang jelas tentang tujuan-tujuan di sebalik pensyariatan zakat ini.

Fungsi utama kepada pensyariatan zakat kepada umat Islam adalah bagi menyucikan dan membersihkan harta.

Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan. (at-Taubah: 103)

Proses pembersihan dan penyucian ini sebenarnya boleh berlaku terhadap dua unsur. Yang pertama, penyucian terhadap jiwa dan hati individu yang membayar zakat.

Zakat membersihkan jiwa seorang Muslim yang mengeluarkan zakat dari sifat bakhil, tamak dan sombong. Melalui pembayaran zakat, seorang Muslim dapat menyuburkan rasa kasihan belas terhadap mereka yang memerlukan.

Pada waktu yang sama, ia dapat menghakis sifat pentingkan diri sendiri sehingga mengenepikan kepentingan orang lain untuk menikmati pemberian Allah SWT.

Seseorang Muslim sepatutnya mengenali keluarganya, saudara-maranya atau jiran tetangganya supaya bantuan zakat dapat diberikan sekiranya mereka berada dalam kesempitan.

Allah SWT menyukai orang-orang yang tidak meminta-minta dan menyembunyikan keperitan yang dialami dari pengetahuan umum. Firman Allah SWT bermaksud: Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang-orang yang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta. (az-Zariyaat: 19)

Ini secara tidak langsung akan mengeratkan ukhuwah di kalangan umat Islam. Apabila individu Muslim membayar zakat, maka ia akan membantu kehidupan mereka yang memerlukan.

Sekiranya sistem zakat ini dapat berfungsi dengan baik, akhirnya ia akan merapatkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin.

Harta yang dikurniakan oleh Allah SWT sebenarnya mempunyai peruntukan untuk golongan yang memerlukan supaya harta tersebut tidak hanya dapat dinikmati oleh golongan yang kaya sahaja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ..... Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)

Golongan miskin apabila mendapat pertolongan dan bantuan ini akan berterima kasih kepada golongan yang kaya. Ini dapat mengikis sebarang perasaan negatif seperti iri hati dan dengki dalam hati golongan miskin. Sekali gus, ia boleh menurunkan graf jenayah seperti rompakan, kecurian dan ragut dalam masyarakat Islam hari ini.

Dalam Islam, sebahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya adalah hak orang-orang miskin. Dengan kata lain, apabila pembayaran zakat dilaksanakan, sebenarnya individu tersebut tidak menyumbangkan apa-apa kepada golongan miskin.

Sebaliknya, dia hanya menyerahkan kembali hak golongan miskin tersebut dari hartanya. Oleh itu, golongan kaya tidak perlu merasa megah atau bangga kerana memulangkan sesuatu yang memang sudah menjadi hak kepunyaan orang lain.

Sh. Muhammad Ashraf dalam bukunya Lessons in Islam telah menulis: "Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa zakat sebagai wang yang diambil daripada orang kaya yang dikembalikan kepada orang miskin. Oleh itu, matlamatnya ialah untuk mengagihkan kekayaan masyarakat dengan cara yang membolehkan tidak ada umat Islam yang tinggal dalam kemiskinan (dan penderitaan)". (Doktrin Ekonomi Islam, Afzal-ul-Rahman, terjemahan Zaharah Salleh, jilid III, m/s 185).

Unsur kedua yang dibersihkan daripada pengaplikasian zakat adalah harta. Harta yang digunakan secara tidak sedar mungkin bercampur dengan perkara haram atau syubhat.

Sekiranya ia berlaku, maka harta yang dimiliki oleh individu tersebut akan hilang keberkatannya. Justeru, cara bagi menghakis perkara-perkara seumpama ini, individu Muslim perlu menunaikan zakat.

Apabila harta itu mempunyai keberkatan, ia akan dipelihara Allah SWT dan akan sentiasa disuburkan rezeki kepada pemberi zakat.

Pembayaran zakat adalah manifestasi ketaatan terhadap Allah SWT. Tidak dinafikan bahawa setiap individu menyayangi harta yang diusahakannya. Apabila seseorang itu membayar zakat, dia telah akur dan tunduk kepada arahan Allah SWT walaupun dia menyayangi harta tersebut.

Justeru, sebagai imbal balik kepada sumbangan yang telah diberikan, Allah SWT yang Maha Kaya melipatgandakan balasan kepada mereka yang membayar zakat pada jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Pungutan dan Pembahagian Zakat

Allah SWT mentaklifkan kewajipan zakat hanya kepada harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Harta yang berada di tangan pemilik hanya dikenakan zakat sekiranya mencapai usia satu tahun (haul) dan melebihi had pengecualian (nisab).

Zakat dikenakan kepada semua jenis harta mengikut kadar 2.5%. Ini bermakna, kewajipan zakat hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan dan ia tidak membebankan pembayar zakat tersebut.

Mereka yang berhak ke atas pembahagian zakat disebut sebagai asnaf zakat. Asnaf telah ditetapkan kepada lapan golongan sahaja. Namun, terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka tergolong sebagai penerima zakat.

Perkara ini perlu untuk mengelakkan pembahagian zakat secara tidak adil atau berlakunya eksploitasi. Asnaf-asnaf zakat secara jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Kesimpulan

Umat Islam perlu melihat zakat sebagai satu instrumen penting untuk penyucian harta. Instrumen ini perlu ditambah nilai agar ia dapat berfungsi secara sistematik dan tersusun.

Kesannya, semua pihak akan dapat menggerakkan ekonomi masing-masing termasuklah golongan fakir dan miskin yang mendapat suntikan modal untuk menerus dan membangunkan kehidupan mereka.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia sebagai makhluknya. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi. Sekiranya syariat ini gagal diikuti, ia akan menyebabkan kehidupan individu dan masyarakat Islam tidak harmoni dan huru-hara.

Antara tujuan pensyariatan (maqasid syariah) adalah untuk menjaga harta (hifz mal). Antara hukum Allah SWT yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan harta adalah kewajipan zakat.

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

ALBUM SK KUALA KURAU (BARU)

MTQ ZON KUALA KURAU

MAJLIS MENANDATANGANI HELAIAN PELAPORAN PPT 2010

About This Blog

MINGGU BAHASA INGGERIS

HARI GURU SKKKB 2010

MOTIVASI KEPIMPINAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53

HARI BUKU SEDUNIA & MINGGU SAINS

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP