Mati kerana hendak kurus
“Ubah Sikap!” Inilah perkara kritikal yang amat perlu dilakukan khususnya masyarakat pengguna negara ini dalam memulakan langkah memasuki gerbang tahun 2010.
Tanpa perubahan sikap, apa sahaja usaha atau kempen yang dilakukan mahupun oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasti tidak terkesan.
Wang juga mencurah-curah dihabiskan tetapi ia tidak lebih bak pepatah 'seperti mencurah air ke daun keladi.'
Contoh jelas, Kempen 'Tak Nak' yang cuba menghakis tabiat merokok dan membakar wang dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka.
Justeru, perokok di negara ini perlu berlapang dada dengan keputusan kerajaan menetapkan harga minimum rokok pada 1 Jan lepas iaitu RM6.40 bagi pek 20 batang.
Kementerian Kesihatan berbuat demikian di bawah Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No 20) 2009 yang diwartakan.
Di bawah peraturan itu, kesemua rokok yang dijual di negara ini hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.
Begitu juga dengan pengumuman kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuat kuasa 1 Januari lepas, menjadikan harga gula di Semenanjung sebanyak RM1.65 sekilogram sementara di Sabah dan Sarawak sebanyak RM1.75 sekilogram.
Dua langkah ini sebenarnya mempunyai implikasi jangka panjang yang kesannya lebih memihak kepada kesejahteraan hidup masyarakat pengguna.
Menyedari impak buruk ketagihan tembakau atau merokok, kerajaan melancarkan kempen anti-merokok 'Tak Nak' pada 9 Februari 2004 dan memperuntukkan sekitar RM20 juta setahun untuk kempen berkenaan. Antara maklumat yang lazim diuar-uarkan ialah tentang kandungan rokok itu sendiri. Rokok dilaporkan mengandungi sekitar 4,000 elemen dan sekurang-kurangnya 200 antaranya dikatakan berbahaya untuk kesihatan manusia.
Racun utama di dalam rokok ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.
Ketiga-tiga ini, masing-masing memberi impak buruk kepada paru-paru dan peredaran darah!
Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menguar-uarkan menerusi buletinnya, World Health yang maklumatnya turut terkandung dalam laman web Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa nikotin di dalam tembakau rokok menghasilkan tindak balas kimia dalam badan sama seperti yang dihasilkan oleh heroin dan kokain.
Seperti rokok, gula juga memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia tetapi sesetengah pengguna di Malaysia masih tidak bijak dalam penggunaan bahan pemanis ini.
Setiap kali berlaku krisis kekurangan gula, antaranya kerana sikap rakus segelintir peniaga yang menaikkan harga bahan ini atas alasan kekurangan bekalan, ada pengguna yang sanggup menyerbu kedai dan pasar raya, berebut-rebut membuat pembelian yang berlebihan.
Tindakan itu sebenarnya bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi lambat-laun akan merobek kesejahteraan kesihatan pengguna sendiri terutamanya apabila menjelang usia senja.
Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan 20 sen harga gula baru-baru ini, senario yang sama berlaku di beberapa premis perniagaan.
Orang ramai yang dilihat ghairah berbelanja di pasar raya, mengisi troli dengan berpek-pek gula malah ada akhbar yang menunjukkan rak gula yang mulai kosong. Di setengah tempat pula ada peniaga yang cuba 'menangguk di air keruh' dengan menjual gula pada harga RM1.70 sekilogram.
Penduduk Malaysia dilaporkan mengambil 26 sudu teh gula sehari berbanding dengan saranan supaya hanya mengambil tujuh sudu teh sehari! Ini jauh berbanding dengan purata pengambilan gula dunia iaitu 11 sudu teh sehari.
Bagi mereka yang masih tidak dapat menyisihkan gula daripada kehidupan mereka, ingatlah gula dikaitkan dengan 60 jenis penyakit termasuk kanser, asma, alahan, diabetes (kencing manis), penyakit jantung, batu karang hempedu, masalah sistem imun, penyakit buah pinggang dan kesihatan mental yang lemah.
Fikir-fikirkan juga statistik 2009 yang menunjukkan 17 peratus daripada 27 penduduk Malaysia menderita diabetes. Diabetes boleh menghasilkan komplikasi iaitu buta, penyakit jantung, kegagalan renal (buah pinggang) dan strok (sakit ahmar)!
Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti.
Justeru, jadilah pengguna jauhari, bijaklah memilih yang terbaik untuk diri sendiri dan juga keluarga. - Bernama
Sumber : Harian Kosmo
0 comments:
Post a Comment