PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH GANTI UPSR DAN PMR


Kementerian Pelajaran bercadang memperkenalkan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SBA) bagi menggantikan peperiksaan awam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dimansuhkan selepas ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian mahu menyeragamkan pelaksanaan SBA menerusi lembaga peperiksaan yang akan menentukan bentuk soalan yang bakal disediakan guru untuk peperiksaan serta membolehkan sekolah membuat penilaian terhadap pencapaian pelajarnya.

Beliau berkata, hasil keputusan SBA membolehkan guru dan ibu bapa mengetahui tahap pencapaian pelajar, sekali gus menolak andaian pemansuhan UPSR dan PMR akan menghapuskan sistem penilaian pelajar dan hanya dilakukan ketika mereka di tingkatan lima.

Katanya, cadangan memansuh dua peperiksaan itu juga bukan perkara baru, sebaliknya sudah dikaji kementerian sejak 2007 oleh pasukan yang meneliti isu sistem pendidikan negara ini yang lebih berorientasikan peperiksaan kerana wujud tiga peperiksaan awam, berbanding hanya satu peperiksaan di kebanyakan negara.

“Kita bukan nak hapuskan sistem tanpa ada penilaian, tetapi mungkin perkenalkan SBA. Ini belum kita maklumkan tetapi sudah diteliti serta dikaji dan didapati mungkin sesuai kerana SBA sudah diamalkan di banyak negara dan tidak menjejaskan pembelajaran, pengajaran guru dan pembelajaran murid.

“Saya tidak fikir kita memerlukan jawatankuasa khas yang dipilih untuk membincangkan isu pemansuhan UPSR dan PMR kerana ini tanggungjawab peringkat kementerian,” katanya.
dan bukan urusan Parlimen. Namun, saya sedia menerima pelbagai pandangan dan cadangan," katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Kesepukuh (RMK-10), di Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin berkata, beliau bersetuju peperiksaan penting tetapi pemansuhan UPSR dan PMR dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek perbelanjaan mengurus, penggunaan sumber manusia dan mengurangkan beban tugas guru untuk mengendalikan peperiksaan.

Beliau berkata, guru memberi banyak tumpuan untuk mencapai gred A cemerlang dan urusan sekolah juga banyak menjurus ke arah itu, menyebabkan tanggungan kerja bertambah yang turut membebankan pelajar.

"Disebabkan pencapaian diukur menerusi peperiksaan, ibu bapa yang prihatin terpaksa menghantar anak ke kelas tuisyen walaupun sekolah menyediakan sistem pembelajaran yang agak baik. Kesannya, kos untuk tuisyen berbilion ringgit setiap tahun dan memberi keuntungan kepada pihak tertentu," katanya.

Muhyiddin berkata, pengurangan peperiksaan juga memberi peluang guru dan murid memberi tumpuan kepada meningkatkan kemahiran insaniah, inovasi dan kreativiti.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian pada peringkat akhir kajian melaksanakan program permulaan sesi persekolahan formal daripada 6+ tahun kepada seawal 5+ tahun dalam usaha memastikan sistem pendidikan di negara ini seiring Plan Transformasi Negara (GTP) untuk mencapai modal insan bertaraf dunia.

Katanya, kajian terperinci mendapati 95 peratus kanak-kanak sudah menguasai kemahiran 3M (membaca, mengira dan menulis) dan mempunyai kemahiran bersosial dengan rakan sebaya seawal umur lima tahun melalui pendidikan prasekolah.

"Kementerian juga mahu melahirkan modal insan berkemahiran dan kebolehpasaran bermula di peringkat persekolahan dengan merombak sistem pendidikan Teknik, Vokasional dan Kemahiran (pendidikan Voctech) supaya menjadi pendidikan arus perdana.

"Ini membabitkan penambahbaikan kurikulum pendidikan Voctech sedia ada melalui pengukuhan pendidikan daripada berasaskan pengetahuan kepada kemahiran supaya mencapai standard bagi memenuhi keperluan pekerjaan dan pasaran semasa,” katanya.

Read more...

Kurikulum baharu tahun depan

DALAM tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh, (RMK-10) kurikulum baharu untuk sekolah rendah dan menengah akan diperkenalkan.

Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah akan diganti dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah tahun depan diikuti dengan kurikulum baharu untuk sekolah menengah.

Kurikulum berbentuk modular itu akan memberi peluang kepada semua pelajar melalui proses pembelajaran mengikut kemampuan sendiri. Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri menerusi aktiviti eksplorasi yang boleh menyerlahkan potensi mereka.

Kurikulum itu akan menekankan kreativiti, inovasi dan keusahawanan merentasi semua mata pelajaran.

Sebagai usaha membentuk pelajar seimbang dari segi akademik dan kesukanan, kurikulum baharu akan menjadikan Sukan sebagai subjek mata pelajaran mulai tahun depan.

Sehubungan, peruntukan untuk geran sukan bagi setiap pelajar akan dinaikkan dari RM2.40 kepada RM4 bagi sekolah rendah dan RM4 kepada RM6 untuk sekolah menengah.

Di bawah RMK-10, kerajaan akan melaksana pelbagai kaedah perkongsian awam-swasta seperti dalam pengurusan sekolah dan pembiayaan yuran sekolah.

Kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada pengusaha swasta bagi mempercepatkan penyediaan prasekolah dan membolehkan mereka mendapat geran pembinaan di kawasan kurang membangun di luar bandar.

Sektor swasta dijangka membina 488 prasekolah tahun ini, 1,000 tahun depan dan 1,145 tahun 2012.

Skim pembiayaan bersama bagi meningkatkan permintaan terhadap pendidikan prasekolah juga akan dilaksana bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Bantuan sehingga RM150 sebulan diberikan kepada mereka untuk pendidikan kanak-kanak berumur 4+ dan 5+ tahun di prasekolah swasta.

Dalam tempoh rancangan, umur bagi memulakan persekolahan akan dikurangkan daripada 6+ kepada 5+. Langkah ini selaras dengan amalan negara maju.

Sementara itu perkongsian awam-swasta dalam pendidikan asas memberi autonomi kepada pengendali sekolah sebagai tukaran kepada penambahbaikan yang spesifik dalam prestasi pelajar seperti yang dipersetujui dalam kontrak rasmi.

Model serupa telah diguna pakai di sekolah persendirian Cina di Malaysia seperti yang diguna pakai oleh Charter School di Amerika Syarikat, Independent School di Sweden serta specialist school dan academy school di United Kingdom.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...
ALBUM SK KUALA KURAU (BARU)

MTQ ZON KUALA KURAU

MAJLIS MENANDATANGANI HELAIAN PELAPORAN PPT 2010

About This Blog

MINGGU BAHASA INGGERIS

HARI GURU SKKKB 2010

MOTIVASI KEPIMPINAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53

HARI BUKU SEDUNIA & MINGGU SAINS

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP