20 sekolah hebat



Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.

SEKOLAH Kebangsaan Bandar Uda 2, Johor Bahru antara yang terpilih Sekolah Berprestasi Tinggi.



“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:
Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
Kolej Melayu Kuala Kangsar
Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
SMS Muzaffar Syah (Melaka)


Sekolah Menengah Harian:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
SMK (P) St George (Pulau Pinang)


Sekolah Rendah:
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
SK Bukit Damansara (KL)
SK Zainab (2) (Kota Bharu)
SK Convent Kota (Taiping)
SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
Memanjangkan waktu persekolahan.
Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
Pencapaian akademik yang cemerlang.
Melahirkan personaliti unggul.
Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara

Sumber : Berita Harian

Read more...

Guru saman malu RM1.5 juta

ALOR SETAR 24 Jan. - Sepasang suami isteri memfailkan saman malu berjumlah RM1.5 juta di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga kakitangan awam kerana didakwa melakukan konspirasi menganiaya pasangan tersebut.

Kedua-dua plaintif, Mohd. Afandi Abd. Hamid, 39, dan isterinya, Roziaini Mohd. Rozi, 38 adalah seorang guru.

Mohd. Afandi dan Roziaini menamakan Munajat Tamrin selaku defendan pertama yang merupakan pegawai bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri Kedah serta terlibat dalam menyelenggarakan pertukaran guru-guru sekolah.

Defendan kedua ialah, Noriah Murad, merupakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Alor Setar, Jalan Langgar, tempat Roziaini mengajar pada tahun 2004.

Defendan ketiga pula Abdul Aziz Hanifa, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Iskandar, Alor Setar yang merupakan sekolah Mohd. Afandi bertugas pada 2004.

Mohd. Afandi memberitahu, dia memfailkan saman itu terhadap ketiga-tiga defendan kerana mereka mengakibatkan tekanan perasaan kepadanya dan isteri.

"Saya dan isteri dilemparkan tuduhan yang tidak berasas sehingga menyebabkan kami menghadapi tekanan.

"Akibat tekanan yang timbul saya terpaksa mengambil cuti mengajar selama satu tahun setengah bermula awal 2005 hingga 2006," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, konspirasi ketiga-tiga defendan mengaibkan dia dan isterinya bermula apabila isterinya yang menghadapi masalah tekanan mental dan fizikal berjumpa defendan pertama untuk membincangkan hal pertukaran isterinya ke sekolah lain yang dekat dengan rumah mereka.

Ujarnya, selepas isterinya dapat bertukar ke sekolah yang dipohon bermulalah konspirasi antara defendan pertama dan kedua terhadap isterinya.

"Pertukaran isteri saya tidak disenangi defendan pertama kerana isteri saya dapat bertukar sekolah dengan sedikit bantuan pihak pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

"Saya juga turut menjadi mangsa apabila defendan pertama membuat pakatan dengan defendan ketiga," katanya.

Beliau mendakwa, akibat pelbagai tekanan serta konspirasi yang dibuat ketiga-tiga defendan itu, dia dan isteri mengalami kemurungan yang dahsyat.

Mohd. Afandi kini mengajar di Sekolah Kebangsaan Seri Perdana di sini manakala Roziaini mengajar di Sekolah Kebangsaan Tengku Raudzah.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

JPA nafi potong elaun COLA, ITKA

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan beberapa elaun dinikmati kakitangan kerajaan seperti elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) akan dipotong.

"JPA ingin memaklumkan bahawa tidak ada keputusan kerajaan untuk memotong elaun-elaun seperti COLA dan ITKA," menurut jabatan itu dalam kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Kenyataan JPA itu sekali gus menyangkal desas-desus yang mengatakan bantuan sara hidup kepada kakitangan awam termasuk COLA dan ITKA akan ditarik sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

Sejak beberapa hari lalu, kira-kira sejuta kakitangan awam berada dalam dilema berikutan tersebarnya berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun kakitangan awam akan ditarik.

Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang turut menafikan khabar angin tersebut.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Kisah Tanggang moden


Perlukah kita menggubal satu akta baru apabila di sebalik angka warga emas yang semakin meningkat, peristiwa anak-anak membuang ibu bapa mereka juga semakin kerap berlaku?

IKLAN Petronas ini membawa mesej yang cukup dalam tentang hubungan kekeluargaan.


MASIH ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal membalas jasa ayahnya kerana perlu menjaga hati suami?

Iklan Petronas itu bermula apabila wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah. Pada masa yang sama suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal lebih lama di hospital?

Di rumah anaknya, lelaki tua itu menerima layanan dingin daripada menantu sehingga ketika makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain.

Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya.

Walaupun ia sekadar sebuah iklan, hakikatnya ia satu sindiran dan peringatan buat kita semua. Kisah anak melupakan jasa, keringat dan pengorbanan ibu bapa bukanlah sesuatu yang baru. Menyorot filem lama yang paling dekat mengingatkan kita tentang kisah anak derhaka adalah filem Si Tanggang.

Hari ini dalam dunia realiti kisah si Tanggang semakin berleluasa. Lebih menyedihkan, bagaimana tragisnya kisah Tanggang, begitulah keras dan kejamnya hati sebilangan Tanggang moden hari ini.

Dibuang

WARGA emas mempunyai peranan yang cukup besar dalam masyarakat. - Gambar hiasan


Baru-baru ini contohnya, media melaporkan mengenai dua insiden seorang bapa telah 'dibuang' oleh anaknya.

Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, Rumah Sri kenangan di Jejawi.

Seminggu sebelum itu, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan di tepi jalan bersama bungkusan pakaiannya di Behor dekat Kangar. Beliau yang baru menjalani pembedahan jantung terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas.

Mengulas mengenai peristiwa Tanggang moden yang kerap berlaku menurut Pegawai Kemajuan Masyarakat (Kemas), Rafia'ah Jaafar, cara ibu bapa mendidik anak-anak menjadi salah satu sebab kenapa zuriat mereka sanggup membuang mereka seperti mana kisah Si Tanggang.

Katanya, kebanyakan ibu bapa hari ini mungkin mahukan anak-anak mereka menjadi yang terbaik atau lebih daripada mereka sehingga memberikan kasih sayang melimpah ruah.

"Ramai ibu melakukan kesilapan dengan terlampau memanjakan anak mereka. Bila besar, anak itu tidak dapat menilai perkara yang dikorbankan oleh ibu bapa dan berasa mereka berhak terhadap apa yang diberikan ibu bapanya," katanya.

Apabila ibu bapa semakin tua, anak-anak berasa bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi ibu bapa, kata Rafia'ah.

Ada juga anak yang mementingkan diri sendiri dan memandang sambil lewa terhadap ibu bapa.

Namun katanya sekiranya anak-anak menjalani hidup yang terlalu sukar atau tertekan ia mungkin mendorong mereka melupakan ibu bapa mereka apabila sudah dewasa.

"Sesetengah kanak-kanak membesar penuh traumatik kerana didera secara mental atau fizikal. Mereka mungkin dalam diam membentuk sifat benci ibu bapa. Jadi bila anak ini besar, mereka membalas apa yang mereka alami semasa kecil terhadap ibu bapa," tambah beliau.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan sesiapa yang membuang ibu bapa telah melakukan satu perbuatan yang kejam.

Beliau menasihati mereka yang tidak mampu menjaga ibu bapa supaya menghubungi pejabat kebajikan yang terdekat.

"Jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan. Juga jangan tinggalkan orang tua yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah," kata beliau.

TIMBALAN Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa (kanan) bertanyakan sesuatu kepada warga emas, Othman Samah, 60, (kiri) yang ditinggalkan anaknya selepas sidang akhbar di pejabat JKM Perlis, baru-baru ini.


Tambah Shahrizat, budaya membuang ibu bapa perlu dikekang segera agar ia tidak menjadi satu budaya di negara ini.

Bagi pendidik Abdul Rahman Noordin, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang terhadap isu tersebut.

Mengikut Abdul Rahman, pertalian ibu bapa-anak adalah satu komponen yang amat penting dalam masyarakat yang penyayang dan maju.

"Tetapi kini terdapat satu trend di mana ibu bapa ditinggalkan di rumah orang tua tanpa apa-apa bantuan dan perhatian. Agak malang kerana negara ini masih belum mempunyai akta yang mewajibkan anak-anak menjaga ibu bapa mereka.

"Ibu bapa memerlukan undang-undang bagi menjaga keperluan mereka pada peringkat usia yang lanjut," tambah Abdul Rahman. -

Read more...

Gempar jelmaan puntianak

KUALA TERENGGANU - Kelibat seorang wanita berkuku panjang dan berwajah hodoh yang dikatakan muncul di celah pohon buluh berdekatan dengan kubur di Jalan Kampung Tok Adis, Kuala Ibai, di sini, sejak dua minggu lalu menggemparkan penduduk di kawasan itu.

Lebih menyeramkan apabila salah seorang penduduk di situ mendakwa pernah terserempak dengan makhluk halus itu, dipercayai puntianak ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya, menyebabkan kejadian itu mencetus igauan baru penduduk kampung tersebut.

Menurut Yusof Sulong, 63, yang tinggal di kampung berdekatan, sebaik dimaklumkan rakannya yang tinggal di kawasan terbabit, dia bersama 20 penduduk telah membuat rondaan kira-kira jam 11.30 malam kelmarin bagi melihat sendiri kewujudan puntianak.

“Beberapa orang penduduk telah berkumpul untuk melihat sama ada benar atau tidak wujudnya puntianak sebagaimana didakwa memandangkan sebelum ini saya tidak pernah mendengar perkara sedemikian.

“Malangnya, pada malam pertama rondaan dibuat, kami gagal melihat kelibat puntianak tersebut tetapi akan terus membuat rondaan untuk memastikan kebenaran cerita tersebut,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, seorang penduduk kampung yang mahu dikenal sebagai Khairul, 30-an, berkata, kejadian itu telah menjadi isu sejak pokok buluh di kawasan tanah perkuburan berkenaan dibakar kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, sama ada benar atau tidak, pertemuan dengan wanita yang digelar penduduk sebagai puntianak itu, kini sedang meniti di bibir orang ramai selepas gotong-royong di kawasan tanah perkuburan itu.

Khairul turut mendakwa pernah terserempak dengan ‘makhluk’ terbabit kira-kira seminggu lalu di persimpangan jalan masuk ke rumahnya pada jam 2 pagi.

“Bagaimanapun, saya tidak ambil tahu perkara tersebut dan menganggap ia hanya perasaan kerana ketika itu belum mendengar orang bercakap mengenainya, hinggalah selepas itu penduduk heboh bercakap mengenai menemui puntianak di kawasan berdekatan,” katanya.

Namun, Khairul tidak menafikan keadaan jalan yang malap di kawasan terbabit mungkin mempengaruhi orang ramai melihat kejadian tidak diingini dan tidak menolak ia hanya mainan perasaan sahaja.

Sumber : Sinar Harian

Read more...

9 gerhana bulan, 3 gerhana matahari hingga 2020

KUANTAN - Penduduk negeri Pahang berpeluang menyaksikan sembilan fenomena gerhana bulan dan tiga gerhana matahari yang diramalkan kelihatan dan boleh disaksikan orang ramai sehingga 2020.

Ketua Bahagian Falak dan Sumber Maklumat Jabatan Mufti Pahang, Azlan Abdul Rahman berkata, berdasarkan jadual gerhana bulan dan matahari yang dikeluarkan, penduduk negeri ini dijangka berpeluang menyaksikan gerhana bulan pada tarikh-tarikh 26 Jun 2010 (gerhana separuh), 10 Disember 2011 (gerhana penuh) dan 4 Jun 2012 (gerhana separa).

Menurutnya, pada 8 Oktober 2014 dan 4 April 2015, penduduk negeri ini dijangka akan dapat menyaksikan gerhana bulan penuh menjelang waktu Maghrib hingga jam 9.45 malam.

“Sementara itu gerhana bulan juga dijangka berlaku pada 7 Ogos 2017, 31 Januari dan 27 Julai 2018 serta 16 Julai 2019,” katanya ketika ditemui selepas turut serta menyaksikan fasa gerhana matahari separa, di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhadapan Masjid Negeri, di sini petang semalam.

Beliau berkata, berdasarkan jadual itu juga, tiga fenomena gerhana matahari dijangka berlaku pada tarikh-tarikh 9 Mac 2016, 26 Disember 2019 dan 21 Jun 2020, membabitkan kadar gerhana antara 25 hingga 85 peratus.

“Untuk fenomena gerhana matahari separa yang berlaku hari ini (semalam), ia bermula kira-kira jam 3.07 hingga 5.40 petang, gerhana hanya sempat disaksikan sebanyak dua kali, memandangkan keadaan awam tebal dan mendung.

“Bagaimanapun hasil pemerhatian gerhana menggunakan teleskop jenis MEADE TELESCOPE LX200GPS dan beberapa teleskop milik Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Pahang dan Jabatan Mufti, gerhana matahari pada kadar 39 peratus dapat dilihat kira-kira jam 3.20 petang tadi (semalam),” katanya.

Gerhana yang menarik perhatian sebahagian penduduk Kuantan yang hadir berkumpul di padang MPK turut disusuli dengan solat hajat dan khutbah gerhana di Masjid Negeri sebelum beramai-ramai menyaksikan fenomena yang jarang berlaku itu.

“Penghayatan dan solat sunat gerhana yang diadakan dapat menunjukkan sifat tawaduk terhadap kebesaran Allah manakala kajian fenomena ini dari sudut saintifik dapat membantu pengkaji menganalisis ketepatan waktu dan kesan gangguan pada orbit bulan dan matahari,”katanya.

Sumber : Sinar Harian

Read more...

PPSMI

Pengenalan

PPSMI telah termaktub sebagai keputusan dasar kerajaan Malaysia hasil daripada Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002.

Pelaksanaan PPSMI adalah secara berperingkat, bermula pada sesi persekolahan tahun 2003 dengan perintisnya ialah semua murid Tahun 1 untuk peringkat Sekolah Rendah dan Tingkatan 1 serta Tingkatan 6 Rendah untuk peringkat Sekolah Menengah.

Pelaksanaan penuh PPSMI ialah pada tahun 2007 untuk peringkat Sekolah Menengah sementara peringkat Sekolah Rendah ialah pada tahun 2008.

Rasional kepada peralihan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris adalah atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju dan persiapan dari peringkat awal persekolahan untuk bersaing dalam era globalisasi.

Umum mengetahui bahawa sains dan matematik adalah bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Pelbagai inovasi dan penemuan baru dalam bidang ini berlaku dengan pantas dan capaian maklumat mengenai perkembangan dalam bidang ini banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, bahasa Inggeris adalah bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang ini.

Kesimpulannya, keputusan dasar untuk melaksanakan PPSMI bertujuan memastikan penguasaan yang lebih baik dalam sains dan matematik di kalangan murid memandangkan sebahagian besar sumbernya adalah dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, pelaksanaan PPSMI diharapkan akan turut meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid.

Peranan BBT dalam PPSMI

Peranan BBT telah bermula sejak 2002 sebaik sahaja kabinet memutuskan dasar PPSMI dilaksanakan mulai tahun 2003. BBT berperanan dalam menguruskan penghasilan dan pembekalan Pakej Buku Teks dan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Beberapa perubahan telah dilakukan oleh BBT yang melibatkan komponen bagi Pakej Buku Teks Sains dan Matematik dengan tujuan membantu guru dan murid dalam menjayakan program PPSMI ini.

Antaranya, Pakej Buku Teks Mathematics Year 1 merangkumi komponen Buku Teks, Buku Latihan dan Aktiviti, CD-ROM untuk murid (MyCD), CD-ROM untuk guru dan Buku Panduan Guru.

Semua komponen ini diterbitkan dalam dua jilid (Part 1 dan Part 2) bertujuan mengatasi masalah beg berat.

Pada tahun pertama (2003) pelaksanaan PPSMI, pakej buku teks tambahan telah dibekalkan kepada semua sekolah.

Pembekalan pakej buku teks tambahan ini adalah secara one off dan di bawah pengurusan SPBT sekolah. Pakej buku teks tambahan ini boleh dipinjamkan kepada murid untuk rujukan mereka dan juga bagi tujuan guru melaksanakan P & P Matematik di dalam bilik darjah.

BBT turut menguruskan penghasilan Buku Glosari Sains dan Matematik untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Penghasilan buku glosari ini adalah sebahagian daripada Program Intervensi PPSMI yang dimulakan pada tahun 2005.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk PPSMI

Buku teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) adalah secara berpakej. Penulisan pakej buku teks ini adalah berdasarkan keperluan dan hasrat yang dinyatakan dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Sains dan Matematik masing-masing.

Pakej Buku Teks Sains dan Matematik terdiri daripada beberapa komponen bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (p&p) di sekolah.

Fungsi setiap komponen secara umumnya adalah seperti berikut:

i) Buku Teks (Textbook)

Buku Teks disediakan untuk murid sebagai sumber asas mendapatkan pengetahuan tentang konsep dan kemahiran dalam pembelajaran sains dan matematik.

ii) Buku Latihan dan Aktiviti (Activity Book)

Buku Latihan dan Aktiviti (BLA) disediakan untuk murid bagi mengukuhkan kefahaman konsep dan penguasaan kemahiran sains dan matematik yang telah dipelajari daripada buku teks. BLA membekalkan soalan latihan dan aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh murid. BLA adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik Tahap Satu sahaja.

iii) Buku Panduan Guru (Teacher's Guide)

Buku Panduan Guru disediakan untuk guru sebagai sumber rujukan dan panduan supaya memudahkan guru merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara berkesan. Buku panduan ini juga membantu guru mengemaskini dan meningkatkan pengetahuan sains dan matematik serta merangsang kreativiti guru dalam P&P. Buku Panduan Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Dua serta Pakej Buku Teks Matematik Tahun Satu.

iv) MyCD (Pupil's CD-ROM)

MyCD ialah CD-ROM untuk murid yang bertujuan mengukuhkan kefahaman murid berkaitan konsep sains dan matematik yang telah mereka pelajari melalui persembahan multimedia. Kandungan MyCD adalah Latihan dan Aktiviti secara interaktif, permainan, simulasi dan e-ujian.

v) CD-ROM Guru (Teacher's CD-ROM)

CD-ROM Guru bertujuan membantu guru dalam merancang dan melaksanakan P&P sains dan matematik. Antara kandungan di dalam CD-ROM Guru ialah strategi P&P, bank soalan, aktiviti tambahan dan senarai URL yang relevan dengan pendidikan sains dan matematik. CD-ROM Guru adalah komponen Pakej Buku Teks Sains dan Matematik untuk Tahap Satu sahaja.

vi) Buku Amali Sains (Science Practical Book)

Buku Amali Sains diterbitkan untuk memastikan mata pelajaran Sains diajar secara amali dan bukan hanya secara teori. Selain itu, daya pemikiran dan kreativiti murid dapat dikembangkan melalui amali serta menimbulkan minat murid terhadap Sains. Buku Amali Sains adalah komponen Pakej Buku Teks Sains untuk Tahap Dua sahaja.

Buku Glosari

Buku Glosari Sains dan Matematik adalah bahan rujukan guru dan murid untuk mengenal sesuatu istilah melalui definisi dan penggunaan istilah tersebut dengan lebih tepat. Selanjutnya »

Senarai Pakej Buku Teks Yang Dibekalkan oleh BBT

Senarai judul Pakej Buku Teks Sains dan Matematik yang dibekalkan ke sekolah berserta komponennya adalah seperti pada lampiran di bawah :
Sekolah rendah
Sekolah menengah

Read more...

Mati kerana hendak kurus


“Ubah Sikap!” Inilah perkara kritikal yang amat perlu dilakukan khususnya masyarakat pengguna negara ini dalam memulakan langkah memasuki gerbang tahun 2010.

Tanpa perubahan sikap, apa sahaja usaha atau kempen yang dilakukan mahupun oleh kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pasti tidak terkesan.

Wang juga mencurah-curah dihabiskan tetapi ia tidak lebih bak pepatah 'seperti mencurah air ke daun keladi.'

Contoh jelas, Kempen 'Tak Nak' yang cuba menghakis tabiat merokok dan membakar wang dalam kalangan sesetengah rakyat Malaysia yang bukan sahaja memudaratkan kesihatan sendiri tetapi juga orang di sekeliling mereka.

Justeru, perokok di negara ini perlu berlapang dada dengan keputusan kerajaan menetapkan harga minimum rokok pada 1 Jan lepas iaitu RM6.40 bagi pek 20 batang.

Kementerian Kesihatan berbuat demikian di bawah Peraturan Harga Minimum Rokok dan Larangan Promosi Harga menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) (No 20) 2009 yang diwartakan.

Di bawah peraturan itu, kesemua rokok yang dijual di negara ini hendaklah dijual dengan harga yang tidak kurang daripada harga minimum yang ditetapkan, pada harga RM0.32 sen bagi setiap batang rokok.

Begitu juga dengan pengumuman kenaikan harga gula sebanyak 20 sen berkuat kuasa 1 Januari lepas, menjadikan harga gula di Semenanjung sebanyak RM1.65 sekilogram sementara di Sabah dan Sarawak sebanyak RM1.75 sekilogram.

Dua langkah ini sebenarnya mempunyai implikasi jangka panjang yang kesannya lebih memihak kepada kesejahteraan hidup masyarakat pengguna.

Menyedari impak buruk ketagihan tembakau atau merokok, kerajaan melancarkan kempen anti-merokok 'Tak Nak' pada 9 Februari 2004 dan memperuntukkan sekitar RM20 juta setahun untuk kempen berkenaan. Antara maklumat yang lazim diuar-uarkan ialah tentang kandungan rokok itu sendiri. Rokok dilaporkan mengandungi sekitar 4,000 elemen dan sekurang-kurangnya 200 antaranya dikatakan berbahaya untuk kesihatan manusia.

Racun utama di dalam rokok ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Ketiga-tiga ini, masing-masing memberi impak buruk kepada paru-paru dan peredaran darah!

Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah menguar-uarkan menerusi buletinnya, World Health yang maklumatnya turut terkandung dalam laman web Kementerian Kesihatan Malaysia bahawa nikotin di dalam tembakau rokok menghasilkan tindak balas kimia dalam badan sama seperti yang dihasilkan oleh heroin dan kokain.

Seperti rokok, gula juga memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia tetapi sesetengah pengguna di Malaysia masih tidak bijak dalam penggunaan bahan pemanis ini.

Setiap kali berlaku krisis kekurangan gula, antaranya kerana sikap rakus segelintir peniaga yang menaikkan harga bahan ini atas alasan kekurangan bekalan, ada pengguna yang sanggup menyerbu kedai dan pasar raya, berebut-rebut membuat pembelian yang berlebihan.

Tindakan itu sebenarnya bukan sahaja menguntungkan peniaga tetapi lambat-laun akan merobek kesejahteraan kesihatan pengguna sendiri terutamanya apabila menjelang usia senja.

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan 20 sen harga gula baru-baru ini, senario yang sama berlaku di beberapa premis perniagaan.

Orang ramai yang dilihat ghairah berbelanja di pasar raya, mengisi troli dengan berpek-pek gula malah ada akhbar yang menunjukkan rak gula yang mulai kosong. Di setengah tempat pula ada peniaga yang cuba 'menangguk di air keruh' dengan menjual gula pada harga RM1.70 sekilogram.

Penduduk Malaysia dilaporkan mengambil 26 sudu teh gula sehari berbanding dengan saranan supaya hanya mengambil tujuh sudu teh sehari! Ini jauh berbanding dengan purata pengambilan gula dunia iaitu 11 sudu teh sehari.

Bagi mereka yang masih tidak dapat menyisihkan gula daripada kehidupan mereka, ingatlah gula dikaitkan dengan 60 jenis penyakit termasuk kanser, asma, alahan, diabetes (kencing manis), penyakit jantung, batu karang hempedu, masalah sistem imun, penyakit buah pinggang dan kesihatan mental yang lemah.

Fikir-fikirkan juga statistik 2009 yang menunjukkan 17 peratus daripada 27 penduduk Malaysia menderita diabetes. Diabetes boleh menghasilkan komplikasi iaitu buta, penyakit jantung, kegagalan renal (buah pinggang) dan strok (sakit ahmar)!

Data 2006 menunjukkan 21 peratus rakyat negara ini mengalami kegemukan dan 6.2 peratus lagi obesiti.

Justeru, jadilah pengguna jauhari, bijaklah memilih yang terbaik untuk diri sendiri dan juga keluarga. - Bernama

Sumber : Harian Kosmo

Read more...

Di sebalik kehebatan Burj Aldubai


"Menara adalah kuasa, demikian tulis Judith Dupre dalam bukunya, Skyscrapers yang diterbitkan sepuluh tahun lalu. Ketika buku ini diterbitkan, dua bangunan tertinggi di dunia berada di Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas.



Kini selepas sepuluh tahun, Menara Berkembar Petronas berada pada tangga kelima dan esok dengan rasminya sebuah lagi bangunan tertinggi di dunia akan dibuka. Burj Dubai yang terletak di Dubai menjadi satu mercu tanda keajaiban seni ketukangan serta teknologi pembikinan manusia dalam pembinaan bangunan. Burj Dubai mengulangi tamadun hebat manusia dalam pembinaan di Asia Barat selepas piramid yang muncul sebagai binaan tertinggi empat alaf lalu.

Burj Dubai yang tingginya 818 meter (bayangkan ketinggian bangunan hampir satu kilometer) mempunyai 160 tingkat memecah rekod Taipei 101 yang dirasmikan tahun 2004. Taipei 101 tingginya 509 meter mempunyai 101 tingkat.

Benar seperti kata Judith Dupre, menara adalah kuasa. Membina bangunan tinggi menjadi simbol ketinggian tamadun dan kuasa sesuatu bangsa. Sejak manusia mula membina tamadun, mereka sudah berlumba-lumba mendirikan bangunan yang tinggi mengatasi yang lain. Lihat saja bagaimana orang Mesir zaman kuno sudah membina pencakar langit lebih 2,000 tahun sebelum Masihi iaitu piramid.

Piramid paling tinggi ialah Cheo setinggi 146.6 meter (481 kaki) di Giza. Orang Greek pula sudah membina Parthenon pada kira-kira tahun 432 Sebelum Masihi. Pada zaman moden bangunan pertama paling tinggi ialah Washington Monument yang didirikan pada 7 Ogos, 1783 bagi memperingati Presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama, George Washington.

Pada dekad pertama alaf baru, bangunan tertinggi yang berada di Asia berpindah ke Asia Barat dan Dubai memang layak untuk menjadi pemilik bangunan tertinggi kerana kekayaan negara Emeriat Arab Bersatu (UAE). Sebelum ini bangunan tertinggi Menara Berkembar Petronas (Kuala Lumpur, Malaysia), International Commerce Centre (Hong Kong, China), Shanghai World Financial Centre (Shanghai, China) dan Taipei 101 (Taipei, Taiwan).

Kini Burj Dubai menjadi mercu tanda terbaru penciptaan manusia membangunkan sebuah bangunan yang tingginya hampir satu kilometer. Dengan ketinggian yang "luar biasa" itu, dijangka rekod yang dipegang oleh Burj Dubai tidak mungkin dapat diatasi sekurang-kurang 20 tahun akan datang. Ketinggian yang paling hampir ialah Taipei 101 itu pun hanya 509 meter. Ini disebabkan oleh faktor krisis ekonomi global khususnya negara-negara maju yang menjadi penghalang untuk membelanjakan berbilion ringgit untuk membina sebuah mercu tanda.

Kerana itu banyak penganalisis ekonomi meramalkan tingginya Burj Dubai mencakar langit dan membelah awan akan menjadi mercu tanda merudumnya Dubai. UAE kini mendepani krisis ekonomi dan hampir tumbang pada akhir November. Bagaimanapun bernasib baik apabila negara jiran, Abu Dhabi yang juga kaya dengan minyak menyuntik lebih RM38 bilion kepada UAE. Burj Dubai yang boleh dilihat sejauh 100 kilometer kini menjadi mimpi ngeri dan seperti kata pepatah, biar papa asal bergaya. Mata yang memandang memang melihat Burj Dubai sangat bergaya tetapi UAE ligat memikir mencari jalan untuk menjadikan mercu tanda ini sebagai penyumbang kepada ekonomi Dubai.

"Burj Dubai belum mampu menyakinkan pelabur, " demikian ulas Pengarah Bersekutu agensi CB Richard Ellis, Mathhew Green. Dia seterusnya berkata, kadar sewa bangunan komersial turun lebih 55 peratus dari tahun ke tahun. Inilah realiti yang dihadapi oleh Burj Dubai apabila sebahagian besar ruang pejabat dan kediaman untuk disewa masih kosong.

Adakah badi "bangunan tinggi" dengan "keruntuhan ekonomi" yang berlaku sebelum ini terkena pada Burj Dubai seperti yang tercatat dalam The Skycraper Index: Faulty Towers? Buku ini memaparkan hubungkait antara bangunan pencakar langit akan diikuti dengan krisis ekonomi. Misalnya New York Stock Exchange mengalami kejatuhan pada 1907 sebaik saja bangunan pencakar langit Singer Building dan Metropolitan Life Tower didirikan.

Selepas terbinanya Bangunan Empire State diikuti pula oleh krisis ekonomi di Wall Street yang seterusnya mencetuskan Great Depression tahun 1929. Begitu juga setelah siapnya bangunan World Trade Centre (WTC) di New York (yang diletupkan dalam tragedi 11 September 2001) yang dibuka pada 1973 diikuti dengan krisis ekonomi global.

The Skycraper Index: Faulty Towers juga mencatatkan ketika Menara Berkembar Petronas dalam pembinaan krisis ekonomi yang teruk melanda Asia pada 1997. Maka krisis ekonomi apa pula yang akan melanda dunia atau dunia Arab saja selepas Burj Dubai megah berdiri menggapai awan? Adakah krisis ekonomi global yang melanda Amerika Syarikat (AS) sekarang ini menjadi petanda yang dikaitkan dengan Burj Dubai seperti yang dicatatkan dalam The Skycraper Index: Faulty Towers? Mungkin ada benarnya kalau kita melihat kedudukan ekonomi UAE masa kini menjelang persiapan akhir perasmian Burj Dubai esok.

Burj Dubai yang menelan belanja RM67 bilion mempunyai lebih 3,000 unit kediaman, 1,200 ruang untuk membeli belah dan sembilan hotel itu sekaligus menjadi pusat membeli belah terbesar di dunia. Rekod lain yang dipegang oleh Burj Dubai adalah bangunan yang paling banyak tingkat (160 tingkat walaupun jumlah sebenar masih dirahsiakan oleh pemaju Emaar sehingga esok), lif yang paling tinggi dan lif yang paling laju (kelajuan 64km/j)

Reka bentuk Burj Dubai dicetuskan oleh arkitek Skidmore, Owings dan Mervill dan dibina dengan kepakaran syarikat kontraktor dari Korea Selatan, Samsung Engineering & Construction yang juga pernah membangunkan Menara Berkembar Petronas dan Taipei 101. Burj Dubai dibina dengan bahan asasnya konkrit sebanyak 333,000 meter padu konkrit dan 39,000 tan besi.

Samsung Engineering & Construction berkerjasama dengan syarikat kontraktor Besix dari Belgium dan Arabtec dari UAE. Burd Dubai yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan untuk mendepani gegaran gempa tetapi masih tidak selamat daripada serangan pengganas yang mengambil pendekatan serangan 11 September 2001 ke atas WTC."

Read more...

13,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan

KUDAT 12 Jan. - Kira-kira 13,000 guru Bahasa Inggeris diperlukan bagi menampung kekurangan di sekolah seluruh negara yang kini berada pada tahap mendesak.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tenaga pengajar dalam bahasa tersebut amat diperlukan bagi memastikan pencapaian dalam subjek itu tidak terjejas.

"Kementerian mendapati masalah kekurangan guru bahasa Inggeris begitu kritikal sekali malah hingga menjejaskan prestasi pelajar terutama di kawasan luar bandar," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat beberapa sekolah di Pulau Banggi yang memakan masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini hari ini.

Katanya, antara punca utama kekurangan itu disebabkan keengganan guru yang mengajar bahasa tersebut untuk bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Sehubungan itu katanya, sebagai langkah segera mengatasi masalah tersebut, kementerian merancang mengambil 300 tenaga pengajar dari luar negara untuk melatih guru-guru tempatan mengajar subjek tersebut.

Dalam pada itu, beliau mengakui menerima banyak aduan daripada lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih belum diserapkan sebagai guru oleh Kementerian Pelajaran.

Jelas Mohd. Puad, pihak kementerian memberi jaminan akan menyelesaikan masalah mereka yang berkelulusan sarjana muda pendidikan itu secepat mungkin.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Zakat sucikan jiwa, harta

SLAM adalah merupakan agama yang syumul, merangkumi segala aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia sejagat. Umat Islam perlu menerima Islam secara keseluruhannya tanpa memilih-milih.

Salah satu dari komponen yang berada di bawah naungan Islam adalah persoalan harta. Islam secara asasnya tidak melarang umatnya dari mendapatkan harta sebanyak mungkin.

Namun, dua perkara yang perlu dititikberatkan berkaitan dengan harta adalah:

lSumber pengambilan harta

lPengurusan dan perbelanjaan harta

Rasulullah SAW menggambarkan betapa pentingnya umat Islam perlu menitikberatkan persoalan ini kerana ia bakal ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak akan terlepas dua kaki anak Adam di akhirat di hadapan Allah SWT, kecuali setelah ditanya lima perkara; Tentang umurnya di mana ia habiskannya, tentang kepemudaan dan kepemudiannya di mana digunakan, dan tentang hartanya dari mana datangnya dan ke mana dibelanjakannya, dan apakah dan apakah yang dilakukan dengan ilmunya". (riwayat At-Tirmidzi)

Islam menganggap harta adalah merupakan pemberian oleh Allah SWT kepada manusia sebagai pinjaman. Justeru, tidak sepatutnya bagi umat Islam menguruskan hartanya sewenang-wenang sehingga membatasi prinsip dan kehendak syariah.

Antara perkara yang menjadi kewajipan kepada umat Islam dalam menguruskan hartanya adalah pembayaran zakat.

Zakat dan Kepentingannya

Perkataan zakat memberi maksud menyuburkan, membersihkan dan memperbaiki. Sebenarnya, melalui kefahaman terhadap maksud sebenar dari perkataan zakat ini sudah memberikan gambaran yang jelas tentang tujuan-tujuan di sebalik pensyariatan zakat ini.

Fungsi utama kepada pensyariatan zakat kepada umat Islam adalah bagi menyucikan dan membersihkan harta.

Ia dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan. (at-Taubah: 103)

Proses pembersihan dan penyucian ini sebenarnya boleh berlaku terhadap dua unsur. Yang pertama, penyucian terhadap jiwa dan hati individu yang membayar zakat.

Zakat membersihkan jiwa seorang Muslim yang mengeluarkan zakat dari sifat bakhil, tamak dan sombong. Melalui pembayaran zakat, seorang Muslim dapat menyuburkan rasa kasihan belas terhadap mereka yang memerlukan.

Pada waktu yang sama, ia dapat menghakis sifat pentingkan diri sendiri sehingga mengenepikan kepentingan orang lain untuk menikmati pemberian Allah SWT.

Seseorang Muslim sepatutnya mengenali keluarganya, saudara-maranya atau jiran tetangganya supaya bantuan zakat dapat diberikan sekiranya mereka berada dalam kesempitan.

Allah SWT menyukai orang-orang yang tidak meminta-minta dan menyembunyikan keperitan yang dialami dari pengetahuan umum. Firman Allah SWT bermaksud: Dan pada harta-harta mereka ada hak untuk orang-orang yang miskin yang meminta dan orang miskin yang tidak meminta. (az-Zariyaat: 19)

Ini secara tidak langsung akan mengeratkan ukhuwah di kalangan umat Islam. Apabila individu Muslim membayar zakat, maka ia akan membantu kehidupan mereka yang memerlukan.

Sekiranya sistem zakat ini dapat berfungsi dengan baik, akhirnya ia akan merapatkan jurang di antara golongan kaya dan golongan miskin.

Harta yang dikurniakan oleh Allah SWT sebenarnya mempunyai peruntukan untuk golongan yang memerlukan supaya harta tersebut tidak hanya dapat dinikmati oleh golongan yang kaya sahaja.

Firman Allah SWT yang bermaksud: ..... Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu. (al-Hasyr: 7)

Golongan miskin apabila mendapat pertolongan dan bantuan ini akan berterima kasih kepada golongan yang kaya. Ini dapat mengikis sebarang perasaan negatif seperti iri hati dan dengki dalam hati golongan miskin. Sekali gus, ia boleh menurunkan graf jenayah seperti rompakan, kecurian dan ragut dalam masyarakat Islam hari ini.

Dalam Islam, sebahagian harta yang dimiliki oleh golongan kaya adalah hak orang-orang miskin. Dengan kata lain, apabila pembayaran zakat dilaksanakan, sebenarnya individu tersebut tidak menyumbangkan apa-apa kepada golongan miskin.

Sebaliknya, dia hanya menyerahkan kembali hak golongan miskin tersebut dari hartanya. Oleh itu, golongan kaya tidak perlu merasa megah atau bangga kerana memulangkan sesuatu yang memang sudah menjadi hak kepunyaan orang lain.

Sh. Muhammad Ashraf dalam bukunya Lessons in Islam telah menulis: "Rasulullah SAW telah menggambarkan bahawa zakat sebagai wang yang diambil daripada orang kaya yang dikembalikan kepada orang miskin. Oleh itu, matlamatnya ialah untuk mengagihkan kekayaan masyarakat dengan cara yang membolehkan tidak ada umat Islam yang tinggal dalam kemiskinan (dan penderitaan)". (Doktrin Ekonomi Islam, Afzal-ul-Rahman, terjemahan Zaharah Salleh, jilid III, m/s 185).

Unsur kedua yang dibersihkan daripada pengaplikasian zakat adalah harta. Harta yang digunakan secara tidak sedar mungkin bercampur dengan perkara haram atau syubhat.

Sekiranya ia berlaku, maka harta yang dimiliki oleh individu tersebut akan hilang keberkatannya. Justeru, cara bagi menghakis perkara-perkara seumpama ini, individu Muslim perlu menunaikan zakat.

Apabila harta itu mempunyai keberkatan, ia akan dipelihara Allah SWT dan akan sentiasa disuburkan rezeki kepada pemberi zakat.

Pembayaran zakat adalah manifestasi ketaatan terhadap Allah SWT. Tidak dinafikan bahawa setiap individu menyayangi harta yang diusahakannya. Apabila seseorang itu membayar zakat, dia telah akur dan tunduk kepada arahan Allah SWT walaupun dia menyayangi harta tersebut.

Justeru, sebagai imbal balik kepada sumbangan yang telah diberikan, Allah SWT yang Maha Kaya melipatgandakan balasan kepada mereka yang membayar zakat pada jalan Allah SWT.

Firman Allah SWT: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 261)

Pungutan dan Pembahagian Zakat

Allah SWT mentaklifkan kewajipan zakat hanya kepada harta yang telah memenuhi syarat-syaratnya. Harta yang berada di tangan pemilik hanya dikenakan zakat sekiranya mencapai usia satu tahun (haul) dan melebihi had pengecualian (nisab).

Zakat dikenakan kepada semua jenis harta mengikut kadar 2.5%. Ini bermakna, kewajipan zakat hanya dikenakan kepada mereka yang benar-benar berkemampuan dan ia tidak membebankan pembayar zakat tersebut.

Mereka yang berhak ke atas pembahagian zakat disebut sebagai asnaf zakat. Asnaf telah ditetapkan kepada lapan golongan sahaja. Namun, terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi untuk melayakkan mereka tergolong sebagai penerima zakat.

Perkara ini perlu untuk mengelakkan pembahagian zakat secara tidak adil atau berlakunya eksploitasi. Asnaf-asnaf zakat secara jelas dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang terputus bekalan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (at-Taubah: 60)

Kesimpulan

Umat Islam perlu melihat zakat sebagai satu instrumen penting untuk penyucian harta. Instrumen ini perlu ditambah nilai agar ia dapat berfungsi secara sistematik dan tersusun.

Kesannya, semua pihak akan dapat menggerakkan ekonomi masing-masing termasuklah golongan fakir dan miskin yang mendapat suntikan modal untuk menerus dan membangunkan kehidupan mereka.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui apa yang diperlukan oleh manusia sebagai makhluknya. Justeru, Allah SWT menurunkan syariat sebagai garis panduan yang perlu dipatuhi. Sekiranya syariat ini gagal diikuti, ia akan menyebabkan kehidupan individu dan masyarakat Islam tidak harmoni dan huru-hara.

Antara tujuan pensyariatan (maqasid syariah) adalah untuk menjaga harta (hifz mal). Antara hukum Allah SWT yang berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan harta adalah kewajipan zakat.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Pengisian jawatan guru cemerlang tahun 2010

KUALA LUMPUR - Pegawai perkhidmatan pelajaran lepasan diploma dan siswazah yang mengajar di sekolah, institusi pendidikan guru, Institusi Aminudin Baki dan kolej matrikulasi dipelawa untuk memohon jawatan Guru Cemerlang 2010.

Borang permohonan boleh diperolehi antaranya daripada institusi pendidikan, pejabat pelajaran daerah, jabatan pelajaran negeri dan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my), menurut kenyataan kementerian itu, hari ini.


Tarikh tutup permohonan bagi calon dari Kelantan, Kedah dan Terengganu adalah pada 21 Januari dan bagi negeri-negeri lain ialah 22 Januari.-Bernama

Sumber : Sinar Harian

Read more...
ALBUM SK KUALA KURAU (BARU)

MTQ ZON KUALA KURAU

MAJLIS MENANDATANGANI HELAIAN PELAPORAN PPT 2010

About This Blog

MINGGU BAHASA INGGERIS

HARI GURU SKKKB 2010

MOTIVASI KEPIMPINAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53

HARI BUKU SEDUNIA & MINGGU SAINS

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP