Masak lomak cili api, SPM A+ SASER

POIE Soromban jangan lupo makan masak lomak cili api.. Memang ummp..A++!

Nama Seremban naik dan mengharum tahun ini - bukan kerana masak lomak cili apinya - tetapi kerana mencatat keputusan cukup membanggakan dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. Tahniah kepada inisiatif Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta gurunya yang cukup komited, kreatif dan bijak memotivasikan pelajar.

Khusus kepada warga Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER)- tabik tahniah untuk anda semua kerana begitu cemerlang dalam SPM kali ini, khususnya kertas Matematik.

Bukan sahaja A yang diperoleh, tetapi A+. Di Negeri Sembilan, sebanyak 14 orang mendapat semua A+, dan 11 daripadanya adalah dari Seremban.

Bukan semua calon yang mendapat semua A+ di Seremban itu pelajar asrama penuh, ada juga daripada sekolah harian biasa.

Di SASER, dengar khabarnya purata gred keseluruhan calonnya bukan sahaja mencecah CGPA 0.97, tetapi juga telah dinobatkan sebagai raja Matematik keseluruhan (kebangsaan). Segunung tahniah kepada team matematik sekolah itu, yang berjaya menjinakkan subjek Matematik yang selama ini dikenali sebagai killer paper oleh guru dan pelajar.

Sebanyak 172 calon mendapat A+ kertas Matematik dan 45 lagi mendapat A. Dua tahun lepas ketika sistem A+ belum diperkenalkan, kesemua calon sekolah itu mendapat A dalam kertas Matematik.

Kita kena belajar rahsia guru Matematik sekolah itu melakukannya. Mungkin bukan dengan kayu tas, rotan, lima jari (penampar), pil minda atau muka garang. Kreativiti dan inovatif guru mungkin lebih berkesan dan mujarab untuk menjadi tonik kepada pelajarnya sehingga semua calonnya mendapat A+ dalam Matematik. Memang hebat sehingga cikgu sekolah lain menggeleng kepala tidak percaya.

Apakah maknanya A+ di bawah penggredan tambahan SPM 2009? Maknanya, hampir semua pelajar sekolah itu mendapat markah lebih daripada 90 mata.

Kalau sebelum ini, dalam slip keputusan peperiksaan pelajar hanya diletakkan A, yang bermakna markah seseorang calon itu mungkin hanya 70, atau 80 atau 90 - bergantung kepada graf purata nasional.

Kalau mengikut CGPA SPM, pencapaian A+ - atau markah maksimum - bermakna point atau mata diperoleh adalah di bawah satu, dengan maksimumnya sifar. Kalau B, dikira tiga mata dan C bersamaan empat mata.

Sebelum ini, pernyataan kecemerlangan pelajar ialah A1 atau A2, bergantung kepada graf kumulatif nasional. Pada kali ini, A+ mengesahkan pelajar itu mendapat markah 90 dan ke atas.

Purata kertas yang diduduki ialah antara lapan hingga 10 mata pelajaran.

Komitmen guru Matematik sekolah itu memang tinggi sehingga sering dipanggil untuk mengadakan ceramah tentang pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik di beberapa sekolah lain melalui beberapa program seperti Program Kembara Cemerlang SASER.

Guru berlumba-lumba untuk meningkatkan pencapaian akademik sesama mereka. Proses memotivasikan pelajar sejak awal tahun lagi - tidak menunggu sehingga saat-saat akhir.

Agensi luar seperti PPD juga membantu dari segi penganjuran program, khususnya jika ia melibatkan sekolah lain.

''Bukan kerja senang," kata Ketua Panitia Matematik SASER, Noraini Kassim kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Bacelor Sains Pendidikan itu telah bergraduat pada 1982, dan sejak itu tidak menoleh ke belakang lagi, menabur bakti sebagai guru Matematik.

Kata beliau, paling penting ialah kerja berpasukan kerana bilangan pelajar yang ramai.

Sebagai ketua panitia, beliau akan memastikan segala perancangan strategik dilaksanakan, melakukan pemantauan dan seterusnya membuat post mortem. Mana-mana program yang tidak sesuai akan ditamatkan.

Sebagai guru cemerlang, beliau juga mempunyai komitmen untuk mengajar (70 peratus), melakukan kajian tindakan dan inovasi (10 peratus), berkongsi kepakaran (10 peratus) dan membantu PPD, JPN dan pihak lain (10 peratus).

Katanya, SASER mempunyai sembilan guru cemerlang dalam mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia (dua orang), Fizik, English for Science and Mathematics (EST), Bahasa Malaysia (dua orang) dan Bahasa Inggeris.

Tahniah SASER, tahniah Seremban dan tahniah Negeri Sembilan.

Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment

ALBUM SK KUALA KURAU (BARU)

MTQ ZON KUALA KURAU

MAJLIS MENANDATANGANI HELAIAN PELAPORAN PPT 2010

About This Blog

MINGGU BAHASA INGGERIS

HARI GURU SKKKB 2010

MOTIVASI KEPIMPINAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53

HARI BUKU SEDUNIA & MINGGU SAINS

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP