Buku ejaan lama bahasa Melayu diterbitkan

IPOH: Orang ramai terutama generasi muda berpeluang membaca sebuah buku mengenai sejarah sekolah Melayu Perak yang ditulis dalam ejaan lama Bahasa Melayu.

Buku "Sejarah Perkembangan Sekolah-Sekolah Melayu Negeri Perak (Sebelum Merdeka)" itu dikarang oleh seorang bekas guru, Mohd Nor Long, 77.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku berkenaan, Mohd Nor berkata keunikan buku itu adalah penggunaan ejaan lama yang kini tidak lagi digunakan. "Saya tahu orang akan mengkritik sebab menggunakan ejaan lama," katanya selepas pelancaran buku berkenaan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Mohd Radzi Abd Jabar.

Mohd Nor yang bersara sebagai Timbalan Pengarah JPN Pahang pada tahun 1988 berkata beliau mengambil masa empat tahun menyiapkan buku itu.

Katanya, sebelum ini beliau telah menghasilkan 14 buku pelbagai tajuk.

Mohd Radzi berkata, buku yang ditulis dengan ejaan lama itu istimewa dan memberi peluang kepada pelajar serta
guru untuk menghayati corak dan gaya penulisan yang telah lama tidak dipraktikkan. - Bernama

Sumber :Berita Harian

Read more...

Masa belajar BM dan BI dipanjangkan

Kabinet memutuskan masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.


Bagaimanapun beliau berkata masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar.


"Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.


Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang. - Bernama

Sumber : Harian Metro

Read more...

Masak lomak cili api, SPM A+ SASER

POIE Soromban jangan lupo makan masak lomak cili api.. Memang ummp..A++!

Nama Seremban naik dan mengharum tahun ini - bukan kerana masak lomak cili apinya - tetapi kerana mencatat keputusan cukup membanggakan dalam pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009. Tahniah kepada inisiatif Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta gurunya yang cukup komited, kreatif dan bijak memotivasikan pelajar.

Khusus kepada warga Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER)- tabik tahniah untuk anda semua kerana begitu cemerlang dalam SPM kali ini, khususnya kertas Matematik.

Bukan sahaja A yang diperoleh, tetapi A+. Di Negeri Sembilan, sebanyak 14 orang mendapat semua A+, dan 11 daripadanya adalah dari Seremban.

Bukan semua calon yang mendapat semua A+ di Seremban itu pelajar asrama penuh, ada juga daripada sekolah harian biasa.

Di SASER, dengar khabarnya purata gred keseluruhan calonnya bukan sahaja mencecah CGPA 0.97, tetapi juga telah dinobatkan sebagai raja Matematik keseluruhan (kebangsaan). Segunung tahniah kepada team matematik sekolah itu, yang berjaya menjinakkan subjek Matematik yang selama ini dikenali sebagai killer paper oleh guru dan pelajar.

Sebanyak 172 calon mendapat A+ kertas Matematik dan 45 lagi mendapat A. Dua tahun lepas ketika sistem A+ belum diperkenalkan, kesemua calon sekolah itu mendapat A dalam kertas Matematik.

Kita kena belajar rahsia guru Matematik sekolah itu melakukannya. Mungkin bukan dengan kayu tas, rotan, lima jari (penampar), pil minda atau muka garang. Kreativiti dan inovatif guru mungkin lebih berkesan dan mujarab untuk menjadi tonik kepada pelajarnya sehingga semua calonnya mendapat A+ dalam Matematik. Memang hebat sehingga cikgu sekolah lain menggeleng kepala tidak percaya.

Apakah maknanya A+ di bawah penggredan tambahan SPM 2009? Maknanya, hampir semua pelajar sekolah itu mendapat markah lebih daripada 90 mata.

Kalau sebelum ini, dalam slip keputusan peperiksaan pelajar hanya diletakkan A, yang bermakna markah seseorang calon itu mungkin hanya 70, atau 80 atau 90 - bergantung kepada graf purata nasional.

Kalau mengikut CGPA SPM, pencapaian A+ - atau markah maksimum - bermakna point atau mata diperoleh adalah di bawah satu, dengan maksimumnya sifar. Kalau B, dikira tiga mata dan C bersamaan empat mata.

Sebelum ini, pernyataan kecemerlangan pelajar ialah A1 atau A2, bergantung kepada graf kumulatif nasional. Pada kali ini, A+ mengesahkan pelajar itu mendapat markah 90 dan ke atas.

Purata kertas yang diduduki ialah antara lapan hingga 10 mata pelajaran.

Komitmen guru Matematik sekolah itu memang tinggi sehingga sering dipanggil untuk mengadakan ceramah tentang pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik di beberapa sekolah lain melalui beberapa program seperti Program Kembara Cemerlang SASER.

Guru berlumba-lumba untuk meningkatkan pencapaian akademik sesama mereka. Proses memotivasikan pelajar sejak awal tahun lagi - tidak menunggu sehingga saat-saat akhir.

Agensi luar seperti PPD juga membantu dari segi penganjuran program, khususnya jika ia melibatkan sekolah lain.

''Bukan kerja senang," kata Ketua Panitia Matematik SASER, Noraini Kassim kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam Bacelor Sains Pendidikan itu telah bergraduat pada 1982, dan sejak itu tidak menoleh ke belakang lagi, menabur bakti sebagai guru Matematik.

Kata beliau, paling penting ialah kerja berpasukan kerana bilangan pelajar yang ramai.

Sebagai ketua panitia, beliau akan memastikan segala perancangan strategik dilaksanakan, melakukan pemantauan dan seterusnya membuat post mortem. Mana-mana program yang tidak sesuai akan ditamatkan.

Sebagai guru cemerlang, beliau juga mempunyai komitmen untuk mengajar (70 peratus), melakukan kajian tindakan dan inovasi (10 peratus), berkongsi kepakaran (10 peratus) dan membantu PPD, JPN dan pihak lain (10 peratus).

Katanya, SASER mempunyai sembilan guru cemerlang dalam mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia (dua orang), Fizik, English for Science and Mathematics (EST), Bahasa Malaysia (dua orang) dan Bahasa Inggeris.

Tahniah SASER, tahniah Seremban dan tahniah Negeri Sembilan.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Pangkalan data pastikan pertukaran guru telus

KOTA KINABALU 12 Mac - Pangkalan data guru yang lengkap dengan maklumat keluarga akan diwujudkan bagi memastikan urusan pentadbiran khususnya berkaitan penempatan dan pertukaran dilaksanakan secara telus, adil dan berkesan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan dasar Kementerian Pelajaran yang menetapkan semua guru sama ada baru atau berpengalaman perlu bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman untuk tempoh masa tertentu sepanjang perkhidmatan mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pangkalan data tersebut akan mempunyai maklumat terperinci termasuk latar belakang suami atau isteri guru berkenaan di samping anak dan kediaman mereka.

''Semua ini bukan sahaja dapat membantu kementerian mengurus penempatan dan pertukaran guru dengan cekap dan berkesan bahkan memberi peluang guru terbabit bersedia lebih awal sebelum ditukarkan," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dialog bersama warga Jabatan Pelajaran Sabah di Sekolah Menengah Agama Bukit Padang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan Pengarah Pelajaran Sabah, Dr. Muhiddin Yusin.

Muhyiddin berkata, kementeriannya serius dalam memastikan sekolah di luar bandar mempunyai guru berpengalaman dan berharap ia akan mendapat sokongan semua warga pendidik.

Katanya, mengajar di pedalaman merupakan satu tugas mulia dan boleh dianggap sebagai sumbangan kepada negara selain membuktikan rasa cinta terhadap profesion perguruan.

Terdahulu pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, kementerian sedia melihat semula peraturan yang menetapkan setiap guru hanya mempunyai satu peluang menduduki ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk melayakkan mereka meningkat ke Tahap Empat.

''Saya setuju hasrat guru itu tidak sepatutnya dikekang. Oleh itu kita akan melihat dengan lebih mendalam bagaimana untuk mengatasi masalah ini,' katanya.

Mengenai masalah 27 sekolah menengah di negeri ini yang terpaksa menumpang bangunan dan kemudahan di sekolah rendah, Muhyiddin berkata, ia berlaku kerana peningkatan mendadak pelajar ekoran pertumbuhan bandar baru di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan berusaha mengatasi masalah tersebut termasuk menyediakan kabin sebagai kelas sementara.

''Untuk jangka panjang, kita akan membina bangunan baru tetapi kita juga mesti ingat bahawa kita ada banyak sekolah yang tenggelam ketika banjir dan perlu dipindahkan.

''Semua ini akan membabitkan kos berbilion ringgit. Oleh itu kita perlu mengasingkan mengikut keutamaan dan masalah yang mendesak," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin memberitahu kementeriannya akan mendapatkan khidmat 300 guru pakar bahasa Inggeris untuk dihantar ke enam kawasan di seluruh negara bagi melatih guru di kawasan terbabit.

Katanya, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha kementerian mengukuhkan penguasaan pengajaran bahasa Inggeris, sekali gus meningkatkan kemahiran pelajar dalam bahasa tersebut.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa beliau seorang yang anti sekolah Cina kerana enggan memberi peruntukan kepada sekolah Cina swasta.

Tegasnya, tanggapan tersebut tidak benar sama sekali kerana kerajaan tetap membantu sekolah terbabit namun ia bukan satu keutamaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, kerajaan lebih mengutamakan kebajikan dan keperluan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dan Tamil yang dimiliki oleh kerajaan.

"Saya bukan anti sekolah swasta Cina tetapi sebagai kerajaan kita kena utamakan keperluan di SRJK Cina atau Tamil. Sekolah swasta adalah di bawah tanggungjawab mereka dan bukan kerajaan," ujarnya.

"Kalau dibantu, ia sebenarnya bercanggah dengan dasar kita. Sebab lain adalah kerajaan tidak punya cukup peruntukan dan oleh itu kita kena utamakan sekolah kita dulu," katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan dialog dengan Dewan-dewan perniagaan Sabah di Magellan Sutera di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan perlu menyediakan keperluan dan kemudahan asas di 10,000 buah sekolah miliknya.

Beliau memberitahu, ramai yang tidak menyedari bahawa kos perbelanjaan untuk membayar gaji guru di SRJK Cina dan Tamil berjumlah RM1.8 bilion setahun.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Guru tingkat pencapaian sekolah turut diberi insentif

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini.

“Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu.

“Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Pusat dan negeri Perak.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas.

Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan.

Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Read more...

Guru wajib ke luar bandar

Tempoh tugas tiga hingga lima tahun tempoh perkhidmatan
Cikgu baru mesti mengajar di pedalaman
KUALA LUMPUR: Guru akan diwajibkan bertugas di pedalaman dan luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran juga akan mewajibkan guru baru mengajar di pedalaman, sekali gus mengelakkan sistem pendidikan negara berada dalam kepincangan berikutan keengganan guru bertugas di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang sedang dialami sektor pendidikan ketika ini.




"Ketika ini elaun maksimum RM1,500 diterima oleh guru yang mengajar di kawasan pedalaman. Kementerian akan memikirkan bentuk imbuhan baru untuk mereka.

"Contohnya, dalam tempoh 30 tahun berkhidmat, guru perlu pergi ke pedalaman dan begitu juga guru baru. Kerajaan akan memikirkan dorongan dalam bentuk baru untuk menggalakkan guru ke pedalaman," katanya ketika ditemuramah dalam program temubual Agenda Awani, rancangan terbitan Astro, di sini malam tadi.

Muhyiddin juga berkata, sudah tiba masanya guru mengubah corak pemikiran dengan menganggap mereka adalah golongan yang bertanggungjawab menggalas tugas mendidik anak bangsa.

"Mengubah minda guru untuk menggalakkan mereka berkhidmat di kawasan yang jauh dari bandar adalah satu cabaran dan kekangan kepada kementerian ketika ini," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan mensasarkan 87 peratus kanak-kanak memulakan sesi prasekolah atau kelas tadika seawal usia empat hingga enam tahun.

"Ketika ini jumlah kanak-kanak yang memasuki prasekolah ialah 67 peratus dan kementerian akan memastikan jumlah itu meningkat bagi melahirkan generasi pelapis yang berkualiti.

"Kita sangat menggalakkan pihak swasta untuk turut sama dengan kerajaan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak. Kerajaan akan memberi imbuhan dan ganjaran kepada pihak swasta yang menyediakan kemudahan bilik darjah bagi tujuan prasekolah," katanya.

Beliau juga berkata, kementerian akan melaksanakan transformasi kurikulum sekolah yang menekankan aspek penerokaan ilmu secara mendalam melalui pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata.


"Kita dapat lihat masalah berat badan berlebihan atau obesiti semakin ramai di kalangan murid. Dengan menekankan pentingnya sukan, saya berharap ia sedikit sebanyak mengelakkan masalah itu berlaku di kalangan anak kita," katanya.

Sumber : Berita Harian

Read more...

Kopi termahal dunia

Harga minuman sisa musang cecah RM4,940 sekilogram

APA kaitan musang dengan kopi termahal dunia? Percaya atau tidak, haiwan inilah yang bertanggungjawab menjadikan harga Kopi Musang atau lebih dikenali Kopi Luwak mencecah RM2,298 (AS$600) hanya bagi 500 gram.

Malah, sebuah majalah kewangan antarabangsa, Forbes, menyatakan kopi ini dijual sehingga RM4,940 (AS$1,300) sekilogram yang layak menjadikannya kopi termahal di dunia.



Biji kopi ini adalah campuran yang dituai daripada sisa kumuhan musang di Indonesia dan mamalia ini diketahui tabiatnya hidup dengan menyelongkar biji kopi segar. Haiwan menyerupai kucing ini pemakan buah-buahan, serangga dan haiwan kecil lain untuk hidup. Ia juga makan biji kopi, malah musang menggemari biji kopi yang masak dan berwarna merah segar.

Keistimewaan kopi, ini seperti kata penggemarnya, menghasilkan rasa kelat seperti campuran tanah dengan koko. Malah, hanya kira-kira 453 kilogram Kopi Luwak asli dihasilkan setiap tahun berikutan prosesnya yang rumit serta nilainya yang sangat tinggi.

Keluarga Diraja dan golongan ternama dilaporkan menggemarinya, malah penggemar kopi sejati boleh mendapatkannya dengan harga RM114 (AS$30) secawan di hotel bertaraf lima bintang di Hong Kong.
BIJI kopi yang dikeluarkan bersama najis haiwan ini.



Namun hati-hati, kerana ada yang sekadar menumpang nama Kopi Luwak tetapi ia sebenarnya biji kopi tiruan. dan menurut pakar, kira-kira 40 peratus kopi yang terjual adalah tiruan.

Hakikatnya, musang yang ditemui di Afrika dan Asia bertanggungjawab 'menghasilkan' kopi termahal ini dengan memakan biji kopi dan ketika proses penghadaman enzim haiwan ini bercampur dengan biji kopi sebelum ia dikeluarkan melalui proses kumuhan. Inilah rahsia yang menjadikan setiap bijinya mengeluarkan rasa kelat yang unik.

Di Asia Tenggara, musang ini lebih banyak menjadikan celah dedaun kebun kopi sebagai rumahnya. Namun, ada juga yang dipelihara khas untuk menjalankan tugasan penting sebagai pemilih kopi istimewa berkenaan. Ini disebabkan haiwan ini sememangnya agak cerewet kerana memilih hanya biji kopi yang terbaik dan masak. Enzim di dalam perut ketika proses penghadaman kemudian mengurai sebahagian daripada biji kopi berkenaan sebelum ia dikumuhkan.

Ketika inilah, gerombolan pekerja akan mengutip sisa kumuhan yang bersepah di kebun kopi sebelum mencuci dan memanggang biji kopi berkenaan yang menghasilkan minuman unik yang enak sehingga ke titisan yang terakhir. Begitupun, di celah keistimewaan dan keunikannya itu ada juga yang meragui kesahihan khasiat Kopi Luwak dan menganggap ia suatu yang pelik dan sekadar gimik untuk tujuan pemasaran.

Namun bagi penggemarnya, Kopi Musang cukup dikenali kerana cukup matang, enak rasanya dan kurang pahit. Memandangkan rasa pahit kopi yang banyak membuat ramai orang tidak menggemari kopi, Kopi Luwak pula mengumpan semakin ramai orang untuk menikmatinya.

Agak sukar untuk mencari sumber Kopi Musang yang tulen memandangkan caranya yang luar biasa untuk dihasilkan. Sebelum penternakan kopi musang popular, kebanyakan penternak akan keluar mencari kumuhan musang liar. Kini, penghasilan kopi ini lebih produktif sejak musang dibenarkan hidup bebas dalam kawasan tertentu menjadikan kumuhan musang lebih mudah dicari.

Akibat populariti kopi yang luar biasa ini, bagaimana Kopi Luwak dibuat secara tidak langsung memberi manfaat kepada jumlah populasi musang kerana menggalakkan lebih banyak habitat untuk musang ini diwujudkan di sekitar kebun kopi berkenaan.

Sumber : Berita Harian

Read more...
ALBUM SK KUALA KURAU (BARU)

MTQ ZON KUALA KURAU

MAJLIS MENANDATANGANI HELAIAN PELAPORAN PPT 2010

About This Blog

MINGGU BAHASA INGGERIS

HARI GURU SKKKB 2010

MOTIVASI KEPIMPINAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-53

HARI BUKU SEDUNIA & MINGGU SAINS

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP