JIKA anda bercita-cita menjadi guru dan ditawarkan belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jangan cepat teruja. Ini kerana, anda belum tentu lagi menjadi guru sekalipun anda berjaya mendapat segulung ijazah dari universiti ini.
Masyarakat masih beranggapan bahawa nasib graduan ijazah pertama UPSI sama seperti graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu mereka akan menjadi guru dan ditempatkan di sekolah-sekolah Malaysia. Anggapan ini salah. Semakin hari, UPSI semakin melupakan peranannya mendidik dan melahirkan guru Malaysia dan semakin ghairah menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru.
UPSI meminggirkan bidang pendidikan siswazah guru secara sistematik dengan berselindung di sebalik nama perancangan penjenamaan dan penstrukturan semula fakulti. Semua kursus-kursus yang berkaitan dengan subjek mata pelajaran sekolah di kesemua lapan fakulti yang ada sebelum ini mula dipinggirkan dengan melonggokkannya di satu fakulti saja iaitu Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.
Tindakan peminggiran ini jelas apabila pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus-kursus Sains dan Matematik untuk bakal-bakal graduan guru sekolah dikeluarkan dari Fakulti Sains dan Teknologi serta dilonggokkan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.
Alasannya, pensyarah-pensyarah ini fokus kepada subjek Sains dan Matematik yang akan diajar di sekolah-sekolah dan seharusnya dipindahkan ke fakulti berkenaan. Saki baki Fakulti Sains dan Teknologi yang tertinggal diberi penjenamaan semula dengan nama Fakulti Sains dan Matematik.
Jika berasaskan kepada sebab yang diberikan, ini bermakna Fakulti Sains dan Matematik hanya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru sahaja. Jika UPSI membuat pengkelasan berdasarkan kriteria sebegini, kesannya nanti, hanya tinggal Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia sahaja yang mendidik graduan bakal guru manakala lapan fakulti lain yang selebihnya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka.
Layakkah UPSI terus memegang gelaran universiti pendidikan jika nanti hanya satu daripada sembilan fakultinya yang fokus kepada pendidikan guru? Apa akan jadi dengan tujuh fakulti lama yang tinggal dan satu fakulti baru yang telah ditubuhkan? Semuanya untuk pasaran terbuka bukan guru?
Sebenarnya, penstrukturan semula fakulti lebih kepada gimik pihak pengurusan untuk mengaburi mata masyarakat yang kononnya telah berlaku perubahan besar di UPSI. Kenyataannya, perubahan hanya kepada kedudukan bilik-bilik pensyarah akibat dipindahkan ke ‘fakulti longgok’. Mereka masih mengajar mata pelajaran yang sama kepada pelajar. Tidak ada apa-apa nilai tambah yang diperoleh daripada penstrukturan ini, selain menyusahkan pihak-pihak yang terlibat. Inilah penjenamaan semula dan penstrukturan semula fakulti yang UPSI banggakan sekarang.
UPSI kini berhasrat untuk menggadaikan warisan tradisinya mendidik guru. Sedangkan universiti-universiti lain berusaha untuk menawarkan lebih banyak kursus pendidikan tetapi UPSI sendiri mula meminggirkan bidang pendidikan guru yang menjadi darah daging UPSI sejak zaman SITC tahun 1922 lagi.
Inilah salah satu contoh masalah yang berlaku.
Barangkali UPSI berpendapat, hak untuk menawarkan sebarang kursus adalah hak UPSI. Masalah untuk menempatkan graduannya di sekolah-sekolah adalah masalah Kementerian Pelajaran. UPSI tidak perlu fikir itu semua sebab yang paling penting, UPSI boleh nampak gah menawarkan kursus-kursus yang tidak ditawarkan oleh Institut Pendidikan Guru atau mana-mana IPTA lain. Masalah penempatan guru untuk graduannya, biarlah kementerian berkenaan yang selesaikan.
Nyata sekali, UPSI tidak pernah mengkaji sedalam-dalamnya pasaran guru untuk kesemua graduannya. Semakin hari, semakin galak UPSI merancang dan menawarkan pelbagai kursus yang tidak relevan dengan keperluan kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia. UPSI semakin lupa diri dan merasakan ia perlu sama dengan IPTA lain. Sebab itulah UPSI ingin sama-sama berlumba dengan IPTA dan IPTS lain dalam menawarkan lebih banyak kursus untuk pasaran bukan guru.
Sifat angkuh UPSI sekarang yang enggan memahami keperluan kementerian adalah punca utama masalah penempatan graduannya di sekolah-sekolah.
Untuk mengubat hati, UPSI mengatakan bahawa graduannya masih boleh menjadi pensyarah di politeknik.
Sebenarnya, peratusan graduan UPSI yang berjaya menjadi pensyarah di politeknik amatlah kecil. Jika benar peratusannya tinggi, hebahkanlah jumlah peratusannya kepada masyarakat supaya boleh menjadi kebanggaan. Masyarakat di luar sana berhak tahu kerana mereka yang akan menghabiskan banyak duit menghantar anak-anak mereka belajar di UPSI.
Kepada anda yang benar-benar bercita-cita menjadi guru, anda berhak membuat pilihan yang lebih tepat. Ketika ini, pilihan terbaik anda adalah Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana selain mendapat bantuan elaun semasa belajar, peluang untuk ditempatkan di sekolah-sekolah juga jauh terjamin berbanding graduan UPSI. Setidak-tidaknya, anda tidak akan menganggur untuk satu tempoh yang lama sambil menanggung beban dengan hutang PTPTN. Semak semula surat tawaran anda jika ditawarkan ke UPSI dan fahamilah erti sebenar ‘kursus terbuka’ jika tertulis di dalamnya. Pilihan sebenar di tangan anda.
Sumber : Forum Utusan Malaysia
Read more...